*sekadar renungan bersama
PENGARUH HALLYU: MALAYSIA HILANG INDENTITI SENDIRI
Oleh: Jowani binti Juhary
Winter Sonata, Endless Love dan Lovers in Paris merupakan beberapa buah drama dari Korea Selatan yang mula- mula memasuki Malaysia sekitar tahun 2000. Bertitik tolak dari itu, Malaysia dilanda Gelombang Korea atau lebih tepat lagi Hallyu. Bagaimanakah sebuah istilah yang hanya dicipta secara tak sengaja ini boleh mengemparkan negara? Dan bagaimana mungkin istilah picisan ini boleh menggangu gugat identiti bangsa negara Malaysia?
Pengaruh Hallyu semakin kuat di Malaysia. Istilah seperti K- drama dan K- pop sudah tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Remaja mula meniru gaya rambut dan cara pemakaian artis- artis dari sana. Tidak dinafikan wajah artis dari Korea yang kacak dan comel menjadi penyumbang utama penyebaran pengaruh Hallyu ini.
Drama- drama Korea sering mendapat rating yang tinggi setiap kali ditayangkan di kaca televisyen. Bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Di Asia Tenggara, drama-drama ni mendapat undian paling tinggi sehinggakan seni lakonan ni merupakan antara salah satu pendapatan utama untuk negara Korea.
Winter Sonata mendapat rating lebih tinggi berbanding drama Melayu yang disiarkan pada masa yang sama. Pada kali pertama drama tersebut disiarkan di Malaysia, Winter Sonata mendapat rating 7% lebih tinggi dari drama Melayu. Pada kali kedua pula, drama ini mendapat rating 10% lebih tinggi berbanding drama lain. Antara faktor yang menyumbang kepada hal ini ialah seperti berikut.
Selain dari kekacakkan hero- hero jambu serta kecomelan heroin K- drama, kita tidak dapat lari dari hakikat yang drama Korea lebih asli dan segar jika dibandingkan dengan drama- drama Melayu. Kebanyakan penonton Malaysia sudah dapat mengagak jalan cerita drama- drama Melayu yang ditayangkan. Ini berbeza dengan K- drama yang rata- ratanya mempunyai plot asas yang sama tetapi berlainan konsep dan jalan cerita. K- drama mampu membawa penonton mengikuti dan menjiwai drama tersebut bagaikan penonton berada di dalam drma. Berlainan pula dengan drama Melayu yang kadang kala lebih futuristik berbanding realistik.
K- drama juga menjadi fenomena apabila lagu- lagu yang dimainkan menjadi ikutan dan siulan peminat siri tersebut. Setiap drama mereka mempunyai rangkaian lagu latar yang dibuat khas untuk drama tersebut. Setiap lagu tersebut benar- benar sesuai dengan situasi atau mood drama. Apa yang lebih penting lagi, lagu- lagu latar tidak diulang siar dalam drama yang lain.
Berbeza dengan drama Melayu yang sering mengulang siar lagu- lagu latar. Adakah Malaysia kekurangan komposer dan pencipta lagu untuk mencipta lagu bagi drama- drama Melayu? Apa yang lebih memalukan lagi, drama Melayu seringkali menggunakan lagu- lagu latar dari drama- drama Korea seperti intrumental Winter Sonata dan Autumn in My Heart.
Ini membawa kepada pengaruh K- pop atau Pop Korea yang semakin menular di Malaysia. Bermula dari drama seperti Full House dan Boys Before Flower, penonton semakin menggenali artis seperti Rain dan SS501 yang menyanyikan lagu- lagu latar drama tersebut. Ini diikuti pula dengan drama You’re Beautiful yang mengetengahkan kumpulan anak muda A.N.Jell gabungan dari artis kumpulan C. N Blue dan F. T. Island serta pelakon/ penyanyi Jang Geun Seuk.
Jarang sekali kita dengar anak muda pada zaman ini yang menyiulkan lagu Melayu. Baik di sekolah, di dalam tren dan semasa menunggu bas atau teksi, lagu- lagu Korea menjadi halwa telinga remaja masa kini. Sebagai contoh Erul, pelajar Akedemi Fantasia (AF) musim ke- 9 menjadi pelajar yang digemari hanya kerana beliau membawakan lagu Korea, I’ll Be Back pada persembahan pertamanya di AF. Kini imej, Korean Boy atau Budak Korea telah lekat dengan Erul.
Berbalik pada persoalan yang utama, bagaimanakah hal sebegini mampu menggugat indentiti Malaysia? Jawapannya mudah, semakin ramai remaja berfesyen dan bergaya mengikut idol mereka. Ini boleh menyumbang kepada kemusnahan budaya. Hilang sudah remaja Melayu berpakaian tradisional seperti baju kurung dan baju melayu. Pada mereka, baju- baju sebegitu hanya layak di pakai pada Hari Raya dan juga semasa solat Jumaat.
Pengaruh K- pop juga telah membuatkan segelintir ingin menghidupkan budaya tersebut dengan cara tersendiri. S*MASH merupakan kumpulan anak- anak muda Indonesia yang mula mengasimilasikan K- pop dalam lagu- lagu mereka. Tidak kurang juga di Malaysia. 2 buah kumpulan baru iaitu 24:7 dan Gula- Gula ditubuhkan dengan nama M- pop. Mereka dikatakan ingin “mencabar” kumpulan pop Korea 2 PM dan Wonder Girls.
Tidak salah sekiranya kita ingin mengambil teladan dengan kejayaan artis Korea. Namun apa yang membimbangkan, kumpulan anak- anak muda ini terlampu taksub dan obses ingin meniru artis Korea. Lihat sahaja dari segi pemakaian mereka yang seksi dan mendedahkan aurat. Sekiranya hal ini tidak dibendung, akhlak dan pemikiran generasi seterusnya akan rosak.
Malaysia terkenal di mata dunia kerana mempunyai budayanya yang tersendiri yang menjadi identiti negara ini. Namun, sekiranya anak- anak muda yang dikatakan bakal memimpin masa depan berkelakuan begini, tak dapat dibayangkan apa akan terjadi pada generasi seterusnya. Budaya Melayu yang menjadi identiti agung Malaysia akan terhakis dan akhirnya pupus ditelan masa.
***artikel ini hanya sebagai renungan dan tidak berniat untuk menyinggung mana- mana pihak.
***boleh dikongsi bersama tapi sila link semula pada blog ini.
WAJIB LIKE :D
1 comment:
Masakan Melayu itu sendiri sudah terhantuk baru tengadah inikan pula mahu menyebar budaya sendiri yang rata-rata Melayu itu sediri tidak tahu-menahu kerna sikap tidak cakna.
Hamba penuntut ilmu di samping menasihat sambil mengingat.
Sekian.
Post a Comment